Macam-macam tuduhan dilemparkan kepada cikgu . Cikgu ini bagaikan papan dart yang kerjanya menerima tusukan panah dart. Membaling dart memang menyeronokkan . Siapa yang tidak seronok jika membaling ke papan dart . Selalunya dart akan mengena dan jarang sekali yang meleset. Cuma untuk tepat ke sasaran memang susah. Begitulah juga dengan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kepada guru-guru . Nampak macam kena tapi tidaklah kena sangat ke sasaran. Ia masih sipi-sipi sahaja.
Filem yang cukup menghina guru ialah filem yang dilakonkan oleh P Ramlee. Dalam kelas cikgu itu , cikgu tersebut tertidur kerana setiap malam dia bermain gitar dalam satu kumpulan muzik. Filem ini ditayang berkali-kali di televisyen terutama sekali di Astro Ria. Aku memang tak kering gusi melihat telatah Cikgu Ramlee dengan anak murid yang nakal-nakal itu.Tapi adakah semua cikgu-cikgu sedemikian. Oleh kerana filem itu ditayangkan berkali-kali ,maka ramai yang terpengaruh dengan dakwaan itu. Mereka beranggapan ramai guru yang mengajar sambil lewa dan senang-senang tidur di dalam kelas.Setahu aku, cikgu yang menjadi penyanyi ialah penyanyi Safar Ghafar dari Sarawak sahaja. Itu pun dia telah lama tidak muncul di rancangan televisyen. Sama ada Safar Ghafar tidur di dalam kelas aku tidak berapa pasti.
Terpancut keluar dari mulut Cikgu Lok Yim Pheng bahawa cikgu-cikgu disaman hampir setiap hari. Dalam laporan RTM, pemberita meminta ulasan daripada cikgu-cikgu di kelas. Semua guru yang ditemuramah mengiyakan guru-guru mudah terdedah dengan kes saman ini. Mereka takut mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar yang nakal. Aku naik pelik juga dengan laporan RTM itu kerana seolah-olah RTM menyebelahi cikgu dan tidak menyokong Dato Hishamuddin. Selepas itu tidak ada lagi temubual dengan para guru baik RTM mahupun TV3. Itu yang akui perasan , mungkin betul mungkin tidak. Laporan akhbar aku tak percaya sangat kerana ia lebih mudah ditapis.Jika bernasib baik , guru-guru hanya akan dicalar kereta mereka. Tetapi jika tidak bernasib baik, kes mereka akan direport ke balai polis , dibuat laporan doktor swasta dan di bawa ke mahkamah. Tak kurang juga yang melibatkan yang berhormat, tokoh politik dan persatuan politik setempat. Banyak juga yang diselesaikan oleh pihak pengetua, PPD atau oleh pegawai daripada Kementerian. Jawapan paling mudah ialah tukar sekolah.
Apakah tanggapan ibu bapa sekarang terhadap guru-guru. Ibu bapa memang menaruh harapan yang tinggi terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa sekarang mempunyai bilangan anak yang kecil , hanya tiga empat orang sahaja. Jadi mereka amat bergantung kejayaan kepada dua anak perempuan dan seorang anak lelaki . Jika dapat seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan , itu sudah cukup memadai.Dalam beberapa hal mereka ambil perhatian terhadap keadaan anak-anak mereka Sungguhpun mereka sibuk bekerja , tapi mereka amat mengharapkan anak mereka berjaya, lebih berjaya daripada mereka. Jika ibu bapa mempunyai kelemahan dan kesilapan masa lalu, seboleh mungkin kesilapan dan kelemahan itu tidak akan berulang dan berjangkit kepada anak-anak mereka.Ibu tidak percaya perwatakan anak-anak mereka berubah dari semasa ke semasa.
Semasa di Tahun 1 perangai anak mereka cukup baik tetapi setelah ke Tahun 2, perangai anak mereka berubah. Mulalah mereka menyalahkan kawan-kawan kepada anak-anak mereka. Apabila di sekolah menengah, perangai anak mereka lebih cepat berubah. Mereka menyalahkan sekolah dan guru-guru yang kononnya tidak berdedikasi. Mereka mendapati guru sekolah menengah tidak bertanggungjawab berbanding dengan guru-guru di sekolah rendah. Guru di sekolah menengah hanya membiarkan jika anak mereka melakukan kesalahan. Ibu bapa lebih kenal dengan guru di sekolah rendah. Mereka lebih menghargai jasa dan peranan guru sekolah rendah. Mereka merasakan guru di sekolah rendah lebih prihatin.Ibu bapa tidak sedar corak pendidikan dan pergaulan mereka di rumah telah menyebabkan watak anak mereka turut berubah. Setiap manusia akan berubah.
Apabila masa berlalu , anak-anak akan lebih dewasa , mahukan status kedewasaan , inginkan kebebasan dan lepas bebas dari kongkongan.Ketika di sekolah rendah , anak-anak tadi bercampur sesama kaum tetapi apabila sampai di sekolah menengah, anak-anak mereka bercampur dengan kaum-kaum yang lain. Selalunya ibu bapa ini menyatakan sesuatu kaum itu lebih jahat dan nakal, lebh biising dan sebagainya.Pelbagai tuduhan dilemparkan dan ada kalanya berbau perkauman. Di sekolah menengah isu-isu perkauman lebih mudah merebak. Pergaduhan pelajar antara kaum lebih mudah berlaku. Faktor luaran amat mempengaruhi terutama iklim politik semasa dan kongsi gelap.
Faktor jarak juga memainkan peranan. Semasa di sekolah rendah , jarak antara sekolah rendah dengan rumah tidaklah begitu jauh. Hanya sekitar 2-3 batu sahaja. Tambahan pula mereka selalu hantar dan ambil di sekolah. Oleh itu mereka tahu perkembangan anak-anak mereka di sekolah. Ibu bapa mengenali rakan dan lawan anak-anak mereka. Anak -anak ini pula selalu mengadu hal ehwal apa yang berlaku di sekolah.Tetapi apabila sampai di sekolah menengah , jarah rumah dengan sekolah lebih jauh. Mungkin 7- 10 kilometer. Ada di antaranya dihantar ke daerah lain atau di hantar ke negeri lain. Malah melibatkan negeri Sabah dan Sarawak. Sekolah -sekolah menengah ini terletak hanya di bandar-bandar.
Satu ketika dahulu pusat video games, pusat snuker, kafe siber banyak dibandar. Anak-anak yang jauh daripada pemerhatian ibu bapa telah menyimpang ke pusat-pusat ini untuk mendapat pengiktirafan sebagai seorang muda remaja. Tidaklah mereka dikatakan kolot, tidur di celah ketiak emak lagi.Banyak pemimpin politik tidak percaya pelajar-pelajar ini macam samseng di sekolah. Datanglah jengok ke sekolah-sekolah terutama sekali pada waktu hujung waktu belajar dan semasa rehat. Lihat juga kawasan bandar yang mempunyai pusat-pusat yang dinyatakan di atas. Tidakkah mereka sedari para pelajar ini melepak dan melepak tanpa sebarang tujuan.
GURU HEBAT DITUKAR DAN DISAMAN Selalunya guru yang jadi mangsa para pelajar dan ibu bapa ialah guru-guru yang aktif . Guru yang sekadar datang ke sekolah untuk mengajar tidak akan mengambil sebarang risiko. Bagi mereka kerjaya guru adalah mengajar semata-mata, masuk kelas mengajar. Jika pelajar bising , tidak kutip sampah, berkelakuan tidak senonoh , itu bukan tanggungjawab mereka. Hal disiplin diserahkan kepada guru disiplin. Ramai juga cikgu yang bersikap begitu.Tambahan pula dalam pekeliling Kementerian hanya pengetua yan boleh memukul dan merotan pelajar. Jika guru perempuan tidak merotan , kuasa merotan hendaklah diserahkan secara bertulis kepada guru disiplin.Lantaran itu guru biasa begitu takut dan kecewa. Hendak report berulang-ulang kali kepada pengetua dan guru disiplin segan pulak terutama guru lelaki. guru lelaki akan rasa tercabar jika menyerahkan hal ehwal displin kelasnya kepada guru lain. Jika guru ini selalu memgadu, mereka akan dicap tak boleh boleh kawal kelas dan disindir-sindir semasa mensyuarat guru.
Guru yang masih berani mengambil risiko , antaranya ialah guru disiplin dan guru penasihat unit beruniform.. Kebanyakan guru-guru ini ialah guru lelaki dan lulusan maktab perguruan . Lulusan universaiti yang aktif dalam kegiatan ko kurikulum juga ramai.Kebanyakan guru di sekolah yang mempunyai ijazah adalah guru perempuan. Guru lelaki yang berijazah di sekolah kebanyakannya hasil lanjutan belajar mereka di universiti beberapa tahun kemudian.. Dasar menggalakan guru menyambung pelajaran ke universiti semasa Dato Seri Najib Tun Razak menjadi Menteri Pendidikan.Paling bahaya mengajar ialah jika mengajar anak peguam. Mentang-mentanglah mereka ini peguam dan mahir tentang undang-undang, guru-guru diugut macam-macam sehinggakan anak mereka dilayan bagaikan VIP.
Guru-guru bertungkus-lumus melayani karenah anak-anak peguam,ahli politik , ahli korporat dan sebagainya ini. Anak mereka ditatang bagaikan minyak yang penuh. Pemeriksaan buku-buku kerja dan layanan jadi berpilih-pilih.Pengetua turut dengan rentak ibu bapa sebegini. Guru diugut jika memukul pelajar akan didenda RM 40.000 . Jika buat kesalahan, guru-guru tadi akan ditukarkan. Ancaman tukar ke Ulu Tembeling, Pulau Ketam, Kapit dan sebagainya begitu sinonim dengan kerjaya guru. Macamlah semua guru di Ulu Tembeling dan Pulau Ketam itu tempat buangan guru pulak.PPD turut mengambil peranan.Kebanyakan guru tidak tahu akan hak-hak mereka untuk mempertahankan diri. Mereka sepatutnya hanya bercakap dengan seorang peguam di sebelah. Tanpa adanya seorang peguam di sebelah, cikgu-cikgu jangan bercakap sepatah haram pun. Tapi manalah guru mampu melantik peguam . Kecualilah para isteri yang suaminya peguam atau kerjaya profesional.
NUTP pun tidak mampu mempertahankan guru-guru ini. Lok Yim Pheng sendiri terkial-kial bila ditujah oleh Menteri Pelajaran.Selalunya guru-guru terperangkap dengan cerita dari mulut mereka sendiri. Pendakwaan hanya berdasarkan sumber sebelah pihak sahaja. PPD tidak berdaya memahami undang-undang dan hak para guru. Mereka tidak langsung menyediakan peguam yang terlatih dalam undang-undang yang berkaitan dengan pendidikan. Sungguhpun para pegawai di PPD adalah bekas guru-guru belaka , tetapi mereka tidak faham akan hal ehwal perundangan .
Dalam kebanyakan sidang media, Kementerian lebih memihak kepada ibu bapa berbanding dengan guru-guru sendiri. Jarang benar guru disanjung dabn dipuja sebagai seorang mahaguru. Guru-guru dianggap sebagai melukut di tepi gantang sahaja. Jika guru enggan menjadi guru, mereka mendakwa ada 60,000 lagi yang bersedia menjadi guru.PPD mengambil jalan mudah untuk menyejukkan ibu bapa dan PIBG. Lalu guru-guru ini dipindahkan 'buat sementara', sementara menunggu siasatan selesai. Akhirnya guru ini ditukarkan terus dan imej mereka tercalar tanpa sebarang pembelaan. Lebih baik ditukarkan ke sekolah lain daripada membayar denda beribu-ribu ringgit. Lebih baik pindah ke sekolah lain daripada nama tercemar kerana didakwa ke mahkamah.Dalam hal ini ibu bapa menang kerana guru-guru berkenaan telah ditukarkan. Mereka bertepuk dan bersorak kononnya guru yang membenci anak mereka telah tiada lagi. Ibu bapa tidak sedar beberapa bulan kemudian anak mereka akan diberhentikan atau ditukarkan sekolah kerana masalah disiplin yang sama. Biasanya pelajar yang membuat masalah dan bermasalah akan mengulang kesalahan yang sama .Benar atau tidak ,pelajar tadi akan dipandang serong oleh rakan-rakan dan semua guru yang mengajar. Siapa yang sanggup menjadi bahan tenungan dan buah bicara di kalangan pelajar dan guru. Perangai lampau ,baik di sekolah rendah mahupun di sekolah menengah akan terdedah. Ketika itu , PPD, pengetua dan guru-guru lain sepakat mengumpul kesalahan pelajar ini hingga akhirnya dibuang sekolah.
Ahli politik selalunya mengambil kesempatan untuk mendapatkan sokongan. Kononnya merekalah jaguh dan juara dalam membela ketidakadilan. Ahli politik sebegini pantang dicocok, mereka akan melatah. Mereka akan terus menelefon pengetua mengarahkan satu laporan lengkap dihantar kepada mereka. Jika masih tidak jalan juga, PPD akan diperalatkan.Selalunya guru akan bercakap atau terpaksa bercakap dan beri laporan tanpa ' nasihat peguam'. Bukan semua boleh didedahkan kepada pengetua atau kepada penyiasat daripada Kementerian. Cikgu jarang menyediakan laporan kesalahan pelajar tersebut. Mana mungkin hendak direkodkan setiap kesalahan pelajar. Ibu bapa akan menuduh cikgu tak pernah beri laporan pun. tidak ada sebarang rekod pun tentang kesalahan anak mereka. Mengapa tiba-tiba anak mereka mendapat banyak laporan disiplin. Aneh sungguh. Ibu bapa merasakan sekolah berpakat untuk menyingkirkan anak mereka.
Contohnya Cheng dan Ahmad tidak pakai lencana. Cheng dan Ahmad baju keluar. Cheng dan Ahmad cakap lucah. Cheng dan Ahmad menyelak kain budak perempuan tapi tidak mengaku. Cheng dan Ahmad menconteng papan hitam tapi menuduh orang lain. Cheng dan Ahmad cakap lucah di belakang cikgu dan baling kapal terbang ketika cikgu keluar dari kelas. Cheng dan Ahmad mencalar kereta cikgu tapi tidak mengaku dan tidak dapat ditangkap atau tidak ada saksi yang nampak. Kawan-kawan Cheng langsung tidak kenal dan tidak tahu siapa Cheng walaupun cikgu amat pasti Cheng adalah kawan mereka. Semangat setiakawan dan setia kongsi gelap mereka cukup tebal. tiada siapa yang sanggup bocor rahsia atau buka mulut. Akhirnya mereka ketawa berdekah-dekah dan mengombok pulak. Sekali terlepas, lain kali boleh buat lagi. Jangan lupa, guru pun dibuli disekolah.
APA KOMEN ANDA? sila tinggalkan komen anda diruang comments
Friday, April 3, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Beri Pendapat Anda:
Post a Comment