puterinya menghadap ilahi dan bagaimana menghadapinya, yang Dr Hasan
Ali memujinya ketika berucap dalam Iftar Jama'ie @ Intekma. Semoga
menjadi pengajaran bagi anak-anak kita...
Sunday, September 14, 2008
Puteriku Siti Hajar - Permata Hati Ayah Dalam Kenangan
Hati mana tak akan pilu apabila anak tersayang diambil di kala kasih
sayang sedia terbelai. Perasaan mana tidak hiba apabila permata hati
dirampas ketika dalam dakapan mesra. Emosi mana yang tidak terganggu
apabila insan harapan ghaib dalam sekelip mata. Mungkin rintihan ini
dek kerana "emotional outburst" yang melulu dan tidak terkawal. Tetapi
hakikatnya itulah perasaan seorang ayah yang kehilangan anak tercinta ……
Tanggal Isnin 8 September 2008, di kala umat Islam sedang asyik
mengerjakan solat sunat Tarawih, puteriku Siti Hajar dalam diam-diam
dijemput menemui PenciptaNya. Umurnya yang baru menempuh 23 tahun,
pelajar tahun 1 UIA di dalam bidang Bahasa Arab dan memiliki tubuh
badan yang sihat bukanlah merupakan alasan untuk memanjangkan usianya.
Saat dan ketika puteriku dah sampai, dan sebagaimana janji Allah swt,
1 saat pun tidak akan ditangguhkan apabila ajal dah tiba. Aku pasrah
kepada ketentuan Ilahi …….
Kakak, begitulah ia membahasakan dirinya, tidak pernah sakit lebih
daripada 2 hari lamanya sebelum ini. Itu pun jarang berlaku. Kakak
seorang yang sihat dan aktif di dalam kerja-kerja jamaah dan
pelajaran. Secara tiba-tiba Kakak terkena sakit ruam di seluruh badan
lebih kurang sebulan yang lalu. Aku ubati Kakak sebagaimana biasa.
Ruamnya sembuh tetapi sendi-sendi kakinya pula rasa sengal dan sakit.
Ujian darah di SJMC menunjukkan Kakak mengidap "Rheumatoid Athritis"
yakni radang sendi di peringkat awal. Menurut doktor yang mana juga
aku persetujui, ia hanya kecil, mudah sembuh dan tidak merbahaya.
Kakak mengambil ubat-ubatan secara alopati, homeopati dan juga rawatan
secara Islam. Hasilnya Kakak hampir sembuh 2 minggu kemudian. Apa yang
peliknya, kebiasaan manusia apabila penyakitnya makin sembuh maka
tahap kecergasannya pun semakin meningkat. Tetapi tidak dengan Kakak.
Kecergasannya semakin menurun walaupun penyakitnya semakin sembuh. Ini
yang membingungkanku dan semua orang ……
Lebihkurang 1 minggu yang lepas, Kakak tiba-tiba demam. Demam biasa
saja, suhu tinggi sikit dan diiringi dengan batuk dan cirit-birit.
Walaubagaimana pun keadaannya tidaklah begitu membimbangkan, musim
demamlah katakan …..
Hari Isnin, ketika aku sibuk bersiap untuk ke tempat kerja pada
sebelah pagi, isteriku memaklumkan bahawa Kakak merasa sedikit penat
hari itu. Aku jenguki Kakak dan mendapati ia sedang berbaring relaks.
"Nampak biasa saja," bisik hati ku lantas bergegas ke tempat kerja. Di
sekitar pukul 6.30 petang aku pulang dari kerja dan terus menjenguk
Kakak. Pelik hari tu kerana Kakak tidak berbaring di biliknya
sebaliknya memilih berada di bilik tetamu. Sebaik aku masuk,
terpandang keadaan penat Kakak yang agak melampau sehinggakan kepala
dan tangannya tergoyang-goyang di luar kawalan. "Ini sangat serius,"
bentak hatiku. Saya cadangkan kepada Kakak supaya kita ke klinik
tetapi Kakak menolak dengan lembut. "Kakak tak taulah ayah, Kakak
penat betul hari ini. Boleh tak esok saja kita pergi klinik?",ujarnya
dengan nada yang amat memilukan. Hatiku bagai disiat-siat melihat
keadaan Kakak. Aku angguk kepala tanda setuju. Aku duduk di sisinya
lantas memegang dan mengusap tangan dan muka Kakak. Suhu badan normal,
sendi-sendinya pun sudah tidak sakit lagi dan batuknya pun telah ghaib
entah ke mana. Kakak berkata ia semakin sihat. Peluhnya keluar
mencurah-curah dan ia berselera sekali makan. Walaupun ketika aku
amati wajahnya dalam-dalam kelihatan seolah-olah ia seperti nazak
tetapi aku cuba nafikan hakikat ini kerana keadaan fizikalnya tampak
semakin baik. Baru aku sedari kemudian bahawa Kakak bukan penat biasa
tetapi nyawanya semakin pendek dek ditarik perlahan-lahan oleh
Malikul-Maut.
Aku berbual-bual mesra dengan Kakak sambil ia memegang erat tangan ku.
Apabila aku menarik tangan untuk pergi bersiap berbuka puasa, Kakak
merayu supaya aku tunggu sekejap lagi bersamanya. Aku berjanji akan
kembali menemani Kakak selepas berbuka puasa di masjid. Sekembali aku
dari masjid aku dapati Kakak semakin ok, siap senyum lagi dan meminta
ayah pergi bertarawih ke masjid. Dia dah sembuh, katanya. Aku pergi
bertarawih dengan agak ceria apabila mendengar pengakuan Kakak.
Telepon bimbit pun tidak "bervibrate" ketika solat bermakna semua ok
di rumah.
Ketika aku berada 100 meter dari rumah waktu pulang bertarawih,
tiba-tiba telepon bimbit berbunyi. "Cepat bang anak kita tak mahu
bangun!", jerit isteriku. Menurut isteriku kemudiannya, selepas aku ke
masjid, Kakak minta nak solat segera selepas azan Isya. Selesai solat
ia meminta kebenaran maknya untuk berbaring relaks buat seketika.
Maknya pun bersetuju dan membiarkan Kakak berbaring sambil ia sendiri
menunaikan solat tarawih berhampiran dengan Kakak. Selesai solat witir
isteriku berpaling ke belakang dan mendapati Kakak sedang berbaring
tidak bergerak-gerak. Ia lantas cuba membangunkannya tetapi Kakak
tetap membisu…..
Aku periksa nadinya, cuba mengesan bunyi nafas dan degupan jantungnya,
tapi tiada. Aku cuba lakukan CPR, dan sebaik saja aku tiup di mulutnya
udara mudah saja sampai ke paru-paru seolah-olah aku sedang meniup
melalui straw ke dalam belon. Ini membuktikan bahawa Kakak sudah
pergi, pergi selama-lamanya …..
Aku tidak mahu menghampakan isteriku. Lantas aku ajak abang ipar ku
untuk mengangkat Kakak ke dalam kereta dan segera menuju ke pusat
perubatan berhampiran. Sebaik tiba di pusat perubatan berkenaan,
doktor di bahagian kecemasan hanya mengambil masa 10 minit untuk
mengesahkan apa yang kami amat takuti, yang Kakak telah pun
meninggalkan kita lebih setengah jam yang lalu. Air mata semua
berguguran tak tertahan-tahan lagi. Aku cuba gagahi bertahan. Sebagai
ayah aku kena pujuk ahli keluarga lain. Bagaimana dapat aku lakukan
tugas ini jika aku turut sama terheret di dalam pesta air mata.
Berterusan doaku semoga aku diberi kekuatan untuk menghadapi ujian
yang amat hebat ini. Alhamdulillah makbul …..
Doktor tidak tahu nak tulis kematian mengejut ini disebabkan oleh
penyakit apa. Umur muda dan tidak ada sejarah sebarang penyakit
merbahaya. Dia meminta saya bersetuju dihantar ke hospital kerajaan
untuk dibedahsiasat. Aku merayu dan merayu supaya jenazah puteriku
tidak disiksa begitu rupa. Berkat doa dan pertolongan semua, sekali
lagi Allah swt makbulkan doaku. Jenazah Kakak sedia untuk dibawa
pulang ke rumah. Di saat itu pusat perubatan sudah dibanjiri oleh
saudara dan rakan yang datang untuk berkongsi sedih. Di sekitar 1.30
pagi, jenazah Kakak sudah ada di rumah menunggu esok untuk
dikebumikan. Ayah dan makku di kampong sudah luluh di dalam tangisan
hiba. Mereka segera bertolak dari Perlis untuk bersama berkabung
bersama keluargaku. Rakan taulan dan saudara mara tidak putus-putus
berkunjung ke rumah ku sehingga ke subuh. Pukul 11 pagi Kakak dimandi,
dikapan dan disolat jenazah (yang aku imami) sebaik saja selesai solat
zohor. Menurut sorang Pak Aji yang tinggal berdekatan masjid mengakui
bahawa ini adalah sejarah kehadiran paling ramai makmum bersolat
jenazah sejak masjid ini mula dibuka. Rezekimu Kakak ……
Kakak selamat dikebumikan di Seksyen 21, Shah Alam sekitar jam 3.00
petang. Ayahku sendiri yang membuat tazkirah dan doa selepas selesai
upacara pengkebumian. Kami sekeluarga pulang, pasrah kepada ketentuan
Ilahi bahawa Kakak telah pergi buat selama-lamanya menemui allah
rabbuljalil.
Ramai teman bertanya bagaimana aku boleh begitu "cool" menghadapi
saat-saat kematian puteri sulong tercinta. Jawapannya mudah, kerana
kekuatan yang Allah beri kepada ku. Kakak pergi dalam keadaan yang
paling baik yang boleh kita minta. Ia anak yang sentiasa patuh kepada
ibubapa, berakhlak mulia, sentiasa menjaga kehormatan diri dan ibadat.
Malah ketika berbaring, lidahnya tidak lekang membaca Al-Qur'an dan
berwirid. Kakak adalah insan yang mudah bertolak ansur dalam bab
keduniaan. Jawapannya sentiasa,"Ikut suka hati ayah …..".
Walaubagaimanapun, Kakak begitu tegas dalam bab agama. Berapa kali
bapa saudaranya ditegur kerana masih merokok. Kakak diberi pendidikan
agama sejak kecil sehingga di Universiti, samada di sekolah atau di
rumah. Kakak seorang yang rajin di dalm kerja-kerja jamaah dan memang
memiliki jiwa pemimpin. Kehadiran ramai temannya dari UIA membuktikan
hakikat ini. Di samping itu Kakak sangat cemerlang di dalam
pelajarannya. Beberapa hari selepas meninggal dunia, kami menerima
sepucuk surat daripada UIA memaklumkan Kakak tersenarai di dalam
Senarai Dekan kerana kecemerlangan akademiknya. Saya menyaksikan
sendiri banyak tanda-tanda kurniaan Allah kepada Kakak. Bilik tempat
Kakak meninggal dunia harum semerbak bau bunga-bungaan (sehingga ke
hari ini) walaupun kita tak pernah bawa masuk sekuntum bunga pun ke
dalam rumah. Waktu dimandi jenazahnya oleh maknya tak ada sedikit
najis apa pun keluar darinya. Wajahnya puteh berseri-seri, lembut ayu
dan tersenyum seolah-olah seperti sedang tidur. Kombinasi semua ini
dan banyak lagi memberikan seribu alasan untuk kami lebih gembira
daripada bersedih di atas pemergiannya. Namun sebagai ayah, kehilangan
Kakak tetap dirasai dan dirindui. Kakak telah membawa bersama secebis
hati ayah yang tak mungkin dapat ayah perolehi kembali di dunia ini.
Ayah sayang kepada Kakak dunia hingga ke akhirat ……..
Anak Bapa: Moga Allah cucuri ruh Kakak dan ditempatkan di kalangan
orang yang solihin …….
Wednesday, December 17, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Beri Pendapat Anda:
Post a Comment