Wednesday, July 30, 2008

Konflik intrapersonal dan cara mengatasinya

1.0 PENDAHULUAN

Manusia adalah hamba Allah yang paling sempurna dan sebaik-baik kejadian makhluk yang telah diciptakan.Kehidupan manusia akan menjadi tenang dan bahagia apabila individu itu mengenal Penciptanya serta dapat pula menyempurnakan diri dengan tuntutan-tuntutan yang diwajibkan ke atas dirinya. Menurut Al-Ghazali (1971), setiap insan wajib mengenali Allah S.W.T yang merupakan fitrah manusia dan seterusnya dapat mengenali diri sendiri dalam proses menjadi insan yang bertakwa.

Semua manusia inginkan kebahagiaan dalam kehidupannya. Mereka inginkan kesenangan dan keselesaan dengan pelbagai kemudahan yang dapat dinikmati di alam kehidupan ini. Namun begitu tidak semua orang berkeupayaan untuk mencapai apa yang dicita-citakan dan yang diharapkan oleh mereka.Bagi manusia manusia yang dapat meredhai apa yang telah dapat dimilikinya , maka selamatlah ianya dari sebarang konflik yang timbul dari dalam dirinya. Adalah sewajarnya manusia berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencari dan mengenali Allah S.W.T disamping juga berusaha untuk mengenali diri sendiri.

Menurut Rogers (1951), manusia adalah berkeupayaan untuk menjadi positif dan baik. Ia akan cenderung kepada penyempurnaan diri yang dianggap tujuan utama bagi semua individu.Setiap individu dapat memperkembangkan potensi yang maksimum dalam kehidupan seharian, dapat mengawal perasaan dan dapat menguasai diri sejajar dengan tuntutan masyarakat dan negara.

Manusia mempunyai pelbagai pilihan dalam kehidupan tetapi mereka mestilah bertanggungjawab terhadap perbuatan dan pekerjaan yang dilakukan. Pada hari Akhirat kelak, manusia akan diberi balasan mengikut apa yang telah dilaksanakan dengan seadilnya.


2.0 DEFINISI
2.1 Menurut Kamus Dewan, konflik adalah bermaksud perselisihan, pertembungan, persengketaan dan pertikaian.
2.2 Konflik menurut Mosby’s Medical Encyclopedia (1987) " Conflict is like a mental tension resulting from conflicting thought, idea , good and desires".
2.3 Perkataan ‘intra’ adalah berasal dari perkataan Latin yang bermaksud ‘inside’ atau dalaman.Personal pula adalah bermaksud diri sendiri atau individu.
2.4 Konflik intrapersonal adalah bermaksud pertentangan dalam diri individu. Ianya adalah merupakan kecelaruan atau percanggahan dalam diri seseorang itu. Ini akan menimbulkan masalah kesihatan mental kepada individu tersebut. Terdapat pelbagai tahap konflik yang dialami oleh pesakit-pesakit mental dari konflik peringkat rendah ke tahap konflik bertahap tinggi.
2.5 Menurut Gardner (1994), sesiapa yang berkebolehan tinggi dalam intrapersonal dari segi kawalan emosi diri akan di anggap lebih pintar dan bijak pemikirannya. Perhubungan yang baik bagi setiap individu dalam aspek intrapersonal (dalaman) dan interpersonal(luaran) akan dapat meningkatkan lagi kepintaran diri seseorang. Ini bermakna perhubungan bagi dalaman diri individu itu penting iaitu menjaga hati, jiwa , nafsu, akal dan roh diri sendiri individu. Begitu juga perhubungan luaran diri individu yang merupakan interaksi seseorang itu dengan sesama manusia, haiwan, tumbuhan dan objek-objek lain disekelilingnya. Hubungan dengan Allah yang menciptakan manusia itu sendiri mestilah baik dan ikhlas.

3.0 PUNCA-PUNCA KONFLIK INTRAPERSONAL
3.1 Menurut Teori Rasional Emotif , konflik intrapersonal akan berlaku pada mana-mana individu apabila terdapatnya pemikiran yang tidak rasional terhadap sesuatu peristiwa yang dialaminya. Menurut Ellis (1973), manusia mempunyai kecenderungan untuk mereka-reka kepercayaan yang mengganggu mereka dan sengaja menyebabkan diri mereka tergganggu dari gangguan tadi. Pemikiran-pemikiran ini adalah tidak logik, berat sebelah, prejudis dan tidak sesuai dengan diri individu. Ianya mengakibatkan terdapatnya percanggahan antara pemikiran dan tindakan. Individu-individu ini tidak berupaya melawan perasaan dan selalu menyalahkan orang lain serta mengutuk diri sendiri. Apabila gangguan ini tiba ke tahap yang tinggi maka bertambah lagi konflik intra personal yang dihadapi oleh individu tersebut.
Sebagai contohnya seorang lelaki tua yang mendapat sakit dada disebabkan terlalu kuat menghisap rokok dan takut untuk berjumpa dengan doktor sebaliknya hanya pergi berubat dengan bomoh sahaja. Dia mengatakan kesakitan yang dialaminya adalah disebabkan ‘perbuatan orang’ yang dengki dan iri hati dengan kemewahannya.Oleh kerana dia mempunyai kepercayaan yang sedemikian maka bertambah lagi konflik pada dirinya dan juga tidak dapat menyembuh kesakitan dada yang dialaminya. Ini menyebabkan dia tidak keluar langsung dari rumahnya. Semakin hari semakin bertambahlah konflik dalam dirinya sehinggalah pada suatu hari anaknya membawa lelaki tua itu berjumpa dengan doktor dan memberikan kaunseling kepadanya.
3.2 Menurut teori Psikoanalisis, konflik intrapersonal akan berlaku pada sesorang individu apabila terdapatnya pertentangan antara id dan super ego yang mana ego tidak dapat lagi dikawal oleh individu tersebut. Id adalah berfungsi di dunia dalaman pada personaliti seseorang dan ia adalah bawah sedar yang amat sangat. Id dianggap sebagai satu personaliti yang asli pada diri seseorang dan wujud sejak seseorang itu dilahirkan lagi. Id juga dikatakan mengandungi naluri-naluri yang berkaitan dengan asas membentuk kejahatan sesorang itu. Ia juga sentiasa mencari jalan untuk kepuasan dan keseronokan. Super ego lebih menyerupai hati kecil atau nurani sesuatu fikiran dari aspek peneguhan moral oleh budaya dan masyarakat setempat yang telah dipelajari oleh individu tersebut. Super ego mempunyai ganjaran-ganjaran tersendiri seperti rasa megah, kasih sayang pada diri sendiri, hukuman-hukuman seperti perasaan bersalah dan rendah diri terhadap diri sendiri. Menurut Melanie Klien (1959), ego pula adalah adalah unsur yang paling rasional bagi persenoliti individu. Ego ini berhubung dengan dunia nyata yang dapat mengawal tindakan dengan kesedaran serta memberikan realiti dan pemikiran serta perancangan yang lojik sekali. Semakin kuat pertentangan antara kedua-duanya, maka akan bertambah lagi konflik yang dialami oleh individu tersebut. Konflik intrapersonal akan bertambah teruk lagi apabila ego individu juga tidak dapat dikawal.
Contohnya ialah seorang remaja yang masih belajar ingin memiliki sebuah motosikal yang tidak mampu dibelinya atau keluarganya. Maka timbul konflik dalam dirinya samada dia hendak mencuri motosikal besar itu atau melupakan sahaja keinginannya kerana mencuri adalah satu kesalahan yang besar di sisi undang-undang.
3.3 Mengikut teori Pemusatan Perorangan, konflik intrapersonal berlaku apabila keraguan yang difahami sebagai hasil daripada terdapatnya ketidakseimbangan diri unggul sesorang dengan dirinya yang sebenar. Menurut Rogers (1961), konflik juga adalah disebabkan desakan yang menggerakkan diri individu ke arah kesejahteraan diri dan berlaku semasa proses kehendak individu mahu mencapai kesempurnaan yang ideal. Berdasarkan kepada konsep kendiri yang sudah terbina hasil dari pengalaman yang dilalui oleh individu maka akan berlaku percanggahan antara kehendak kesempurnaan yang ideal dengan alam situasi yang sebenar. Pertembungan antara kehendak ideal kendiri dengan keadaan yang sebenar akan meningkat tahap konflik intrapersonal seseorang. Pengalaman-pengalaman seseorang yang lepas telah memberikan kesan kepada diri individu. Keadaan dirinya yang sebenar telah tidak kongruen dengan pemikiran keunggulan pada diri individu itu..Oleh kerana terlalu inginkan suatu keunggulan yang tidak mungkin dicapainya, maka timbul suatu konflik pada dirinya.
Contohnya seorang pelajar yang selalu tidak hadir ke sekolah kerana penyakit yang dialaminya dan tidak mengambil mana-mana kelas tambahan tetapi ingin mendapat keputusan terbaik dalam kelasnya. Tidak mungkin keinginannya itu tercapai tanpa usaha yang bersungguh-sungguh yang dilakukan olehnya . Ini akan menimbulkan konflik dalam dirinya jika dia masih memikirkan keinginannya dengan tidak mengambil apa-apa langkah untuk mencapainya. Ini bermakna jika individu itu masih tidak redha dengan apa yang didapati maka konflik intrapersonal akan masih berterusan pada dirinya.
3.4 Dari sudut pandangan Islam, konflik intrapersonal wujud apabila seseorang itu tidak beriman dan beramal dengan ajaran yang telah ditetapkan dengan sempurna. Kekuatan iman akan berkurtang apabila tidak diikuti dengan amalan yang disuruh dan dilarang dalam Islam. Menurut Yusuf Qardhawi (1986), apabila seorang yang mengaku sudah menerima Islam sebagai cara hidupnya tetapi masih tidak tidak beriman dan beramal maka ianya akan menimbulkan ketakutan, kebimbangan dan kerisauan di hati serta fikirannya. Ianya akan membuatkan diri seseorang itu sentiasa keluh kesah dan tidak bersyukur atas apa yang didapatinya. Konflik juga akan timbul apabila seseorang itu tidak berusaha untuk menjaga dirinya dari segi kawalan nafsu, pemikiran dan hatinya. Semakin jauh seorang penganut Islam dari agamanya , makin akan bertambahlah konflik intrapersonal individu tersebut. Konflik akan timbul apabila seseorang penganut Islam itu melakukan banyak maksiat zahir dan maksiat batin.
Maksiat batin dapat dibahagikan kepada tujuh bahagian iaitu :
i) Maksiat perut iaitu seseorang itu terlalu banyak makan makanan yang tidak halal atau haram seperti meminum arak dan makanan yang dimakan dari punca rezeki yang tidak halal.
ii) Maksiat mata iaitu seseorang yang suka melihat kepada benda-benda lucah dan haram.
iii) Maksiat lidah yang bermaksud bercakap perkara-perkara yang tidak elok seperti mengumpat dan memfitnah.
iv) Maksiat faraj yang bermaksud melakukan hubungan jenis diluar nikah dan lain-lain perhubungan jenis yang tidak dibenarkan.
v) Maksiat tangan yang bermaksud mencuri harta orang lain, menyeleweng kuasa yang diamanahkan dan juga mendapatkan harta secara haram.

vi) Maksiat kaki yang bermaksud sentiasa mengunjungi ke tempat-tempat maksiat seperti ke kelab malam, tempat pelacuran dan tempat perjudian.
vii) Maksiat telinga adalah bermaksud mendengar perkara-perkara yang tidak elok seperti mendengar orang sedang mengumpat, memfitnah dan memburuk-burukkan orang lain.

Maksiat zahir pula adalah seperti berikut :
i) bercakap banyak
ii) suka marah-marah
iii) berhasad dengki
iv) bakhil
v) suka bermegah-megah
vI) sombong dan takkabur dengan diri sendiri
vii) cintakan dunia
viii) suka memfitnah
ix) ujub iaitu menyangka dirinya terlalu sempurna
x) riak iaitu perbuatan yang dilakukan semata-mata kerana terlalu inginkan pujian dan sanjungan dari orang lain.
Apabila seseorang penganut Islam itu melakukan maksiat-maksiat yang telah dinyatakan di atas, maka akan bertambahlah titik dosa
dalam dirinya yang akan menjadikan dirinya mengalami lebih konflik.

4. RAWATAN KONFLIK INTRAPERSONAL SECARA ISLAM.

Islam merupakan satu sistem kehidupan yang lengkap dan dapat menyelesaikan segala permasalahan yang timbul termasuklah konflik intrapersonal. Pelbagai cara dapat dilakukan oleh seorang kaunselor Muslim untuk membantu klien yang datang untuk untuk menyelesaikan masalah dan konflik intrapersonal. Proses menyelesaikan masalah bermula dengan ciri-ciri kaunselor yang baik dan juga menepati kehendak Islam. Menurut Hassan Langgulung (1983), kaunselor Muslim seharusnya menjadi seorang kaunselor yang baik dan juga dapat :

a) merealisasikan kliennya untuk membuat keputusan-keputusan dalam batasan syarak untuk mencari dan mengingini yang halal dan meninggalkan yang haram.

b) merealisasdiri klien dengan tujuan-tujuan yang halal serta menggunakan potensi
klien untuk mengerjakan sesuatu yang berguna pada dirinya dan masyarakat sekeliling (fitrah keinsanan).

c) menghalatujukan klien kepada kesempurnaan kendiri dengan melaksanakan
apa jua perkara iaitu tanggungjawab fardhu ‘ain’ dan fardhu kifayah, demi keredhaan Allah sehingga dapat menikmati kebahagian di dunia dan di akhirat


Tahap-tahap dalam proses Kaunseling Islam

a) Taaruf
Taaruf ertinya pengenalan. Pada pertemuan yang pertama kali, seorang klien datang berjumpa dengan kaunselor tentulah banyak perkara yang tidak diketahui antara satu sama lain. Oleh itu masing-masing akan cuba mengenali antara satu sama lain seperti bertanyakan nama, alamat tempat tinggal dan lain-lain perkara yang asas dalam perkenalan.

b) Tafahum
Tafahum ertinya kefahaman. Pada peringkat ini klien dan kaunselor telah mengenali antara satu sama lain. Klien sudah boleh menceritakan segala konflik yang timbul pada dirinya kerana klien sudah boleh mempercayai kaunselor. Oleh itu kaunselor perlu cuba memahami konflik yang dialami oleh kliennya.

c) Taawun
Taawun ertinya seimbang. Maksudnya ialah kedua-dua pihak sudah seimbang dan dapat menghormati pendapat masing-masing yang berlainan. Dengan ini dapat diwujudkan kemampuan, potensi dan tanggapan yang berbeza tentang sesuatu perkara.



d) Takaful
Takaful ertinya bantuan.Apabila sudah sampai ke tahap ini, kaunselor sudah boleh membantu klien dalam membuat tindakan yang sewajarnya . Pelbagai teknik dan pendekatan boleh dilakukan oleh kaunselor untuk membantu kliennya.

e) Berdoa dan bertawakkal.
Apabila sudah selesai segala usaha yang dijalankan oleh kaunselor dan klien maka sebagai langkah yang terakhir, diserahkanlah segala kejayaan usaha tadi kepada Allah yang Maha Berkuasa dan Penentu segalanya. Sentiasalah berdoa dengan sepenuh hati agar Allah menolong diri yang berada dalam keadaan konflik dan diselesaikan segala masalah dengan secepat yang mungkin. Bertawakkal pula ialah menyerahkan diri kepada Allah terhadap konflik yang dihadapi dengan penuh keyakinan bahawa Allah pasti menolong hambanya.
Firman Alla S.W.T yang bermaksud :
"Allah amat kasihkan orang yang bertawakkal"
(Ali Imran : 159)

Terdapat pelbagai perkara yang perlu diberikan sebagai panduan oleh kaunselor Muslim kepada kliennya untuk diambil perhatian yang sewajarnya iaitu :

a) Taubat
Taubat bermaksud bersegera meminta ampun dan maaf kepada Allah atas segala kesalahan dan dosa yang telah dilakukan dengan sepenuh hati . Syarat-syarat untuk bertaubat ialah :

i) Meninggalkan sebarang maksiat
ii) Menyesal atas perbuatan maksiat yang dilakukan
iii) Tidak mengulangi lagi maksiat yang telah dilakukan
iv) Mengembalikan hak kepada yang dizalimi atau minta maaf dan minta halal .

Jika tiada orang yang dizalimi itu, kembalikan kepada Allah S.W.T
Taubat perlu diamalkan setiap hari kerana banyak perkara maksiat yang dilarang oleh agama yang telah dilakukan. Lebih banyak melakukan maksiat, makin bertambahlah konflik pada diri seseorang. Sebab itulah perlu seseorang itu bertaubat untuk mengurangkan konflik diri. Kaunselor Muslim hendaklah membimbing klien supaya dapat bertaubat kepada Allah.

b) Takut
Takut bermaksud hanya takut kepada Allah sahaja. Klien tidak perlu takut kepada apa sahaja makhluk di atas muka bumi ini kerana hanya Allah sahaja yang Maha Berkuasa. Kaunselor Muslim hendaklah menyakinkan bahawa tidak ada sesiapa atau sebarang benda yang boleh merosakkan diri klien itu.

c) Zuhud
Zuhud adalah bermaksud tidak terlalu mementingkan keduniaan. Terdapat satu lagi alam yang lebih kekal untuk hidup selama-lamanya. Alam akhirat iaitu alam selepas meninggal dunia, adalah yang paling kekal dan abadi. Dunia ini adalah sementara sahaja. Keyakinan terhadap hari Akhirat akan dapat mengurangkan konflik kepada klien berkenaan. Ini adalah kerana di dunia adalah masa untuk manusia berbuat baik agar di hari Akhirat , manusia akan dibalas dengan kebaikan juga. Keyakinan ini hendaklah dibentuk oleh kaunselor Muslim terhadap kliennya.

d) Sabar
Sabar bermaksud tidak terburu-buru dalam sebarang tindakan dan sentiasa memikirkan akibat yang akan berlaku apabila sesuatu tindakan diambil. Peranan kaunselor Muslim adalah membantu klien supaya bersifat sabar dalam menghadapi konflik intrapersonal.

e) Ikhlas
Ikhlas bermaksud setiap perkara yang dilakukan hendaklah dengan jujur dan rela hati tanpa mengharapkan sebarang balasan . Ikhlas itu perlu dilakukan mengikut syarat seperti berikut :

i) benar kepada perkataan
ii) benar kepada azam
iii) benar kepada menunaikan janji

Kainselor perlu membimbing klien supaya bersifat ikhlas untuk mengurangkan konflik pada diri klien.

f) Redha dan bersyukur
Ini bermaksud meneriima segala rezeki yang didapati dan berberterima kasih keatas segala nikmat yang telah dimiliki selama ini. Kaunselor perlu mengingatkan diri kliennya supaya redha dan bersyukur ke atas segala pemberian Allah selama ini. Kaunselor perlu membimbing klien menyenaraikan dan mengenal pasti kelebihan-kelebihan diri dan apa yang telah dimiliki selama ini dan seterusnya mengucapkan terima kasih kepada Allah yang memberikan semuanya itu. Ini akan dapat mengurangkan konflik diri yang dialami oleh klien.

g) Kasih
Kasih bermaksud menyukai kepada kebenaran dan menolak kebatilan. Klien juga hendaklah meninggalkan maksiat serta menurut perintah Allah S.W.T. Sesuatu kebenaran atau kebatilan telah dinyatakan dalam Al-Quran. Ianya juga telah di perjelaskan melalui Hadis dan Sunnah . Segala ajaran yang telah jelas di dalam Al-Quran tidak perlu dipertikaikan lagi. Konlik akan berkurang apabila sesorang itu mahukan kebaikan dan menolak kemungkaran.



h) Ingatkan mati
Ini adalah bermaksud meyakinkan diri bahawa kematian itu pasti boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja . Dengan itu persiapan diri untuk hidup selama-lamanya lebih penting dari dengan itu hendaklah dilaksanakan kebaikan supaya akan mendapat pembalasan yang baik juga kelak. Oleh itu fikiran-fikiran yang baik akan timbul untuk dilakukan oleh individu itu. Ini akan dapat mengurangkan konflik pada diri. Peranan kaunselor ialah supaya dapat membimbing klien menyedari tentang kepentingan untuk berbuat baik sebelum meninggal dunia ini.

i) Sembahyang
Kaunselor hendaklah membimbing klien supaya melakukan ibadat sembahyang fardhu yang telah diwajibkan ke atas seorang Islam. Ini adalah ibadat yang paling asas yang mesti dilakukan. Konflik intrapersonal sukar diatasi sekiranya seseorang itu meninggalkan kewajipan ini.

j) Membaca Al- Quran.
Ianya akan dapat membawa kepada ketenangan diri kepada orang yang menghadapi konflik. Kaunselor Muslim perlu membimbing klien ke arah rajin membaca dan selalu mendengar serta cuba memahami isi bacaan ayat suci ini.

5.0 PENUTUP

Perhubungan intrapersonal adalah sangat penting bagi setiap individu. Hubungan individu dengan dalaman diri sangat penting ke arah kesejahteraan diri sendiri. Perhubungan antara hati (qalbu) , nafsu dan akal itu penting untuk menjaga roh manusia supaya seimbang dengan perkembangan jasad dan fizikal.

Langkah-langkah pencegahan perlu diambil telebih dahulu supaya tidak berlakunya konflik intrapersonal seperti yang disarankan oleh Islam. Ini bersesuaian dengan pepatah ‘mencegah itu lebih baik dari berubat’(prevent is better than cure). Perancangan dalam kehidupan itu akan dapat membantu mengurangkan masalah atau konflik yang akan dihadapi oleh individu tersebut.

Apabila terjadinya konflik intrapersonal dalam individu maka ianya perlu di atasi segera dengan pelbagai cara menurut kesesuaian individu tersebut. Usaha yang bersungguh-sungguh perlu dilakukan walaupun ianya mengambil masa yang lama. Dengan berkat kesabaran dan ketekunan kaunselor akan dapat membantu individu yang mengalami konflik intrapersonal.

0 Beri Pendapat Anda: